Saturday, November 27, 2010

KOMEN PEDAS WARTAWAN UTUSAN TERHADAP FILEM 2 ALAM

Alam 'luar biasa'

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH syazwan_zakariah@astro.com.my

BANYAK pertanyaan yang bermain di fikiran saya sesudah menyaksikan 2 Alam. Hampir kesemuanya bermula dengan 'kenapa', baik dari segi jalan cerita dan pengarahan, sampailah kepada tahap keyakinan Dr. Rozmey bahawa filem ini mampu mengutip RM40 juta. Tidakkah dia sendiri menontonnya?

Filem 2 Alam memfokuskan kisah seorang penyanyi terkenal, Amy semasa hidup dan matinya.

Dia sebenarnya seorang lelaki bernama Adam yang mengubah jantina semasa belajar di luar negara.

Kehidupannya digambarkan penuh jahil dan maksiat, manakala apabila mati, jenazahnya berdepan azab tidak diterima bumi.

Seringkas sinopsis tadi, semudah itulah 2 Alam digarap. Bukan niat untuk memperkecil-kecilkan usaha Ed Zarith dan Hairie Othman, tetapi hanya inikah yang mampu dipersembahkan oleh dua orang pengarah?

Seawal pembukaan, momentum filem ini sudah dibunuh. Penonton disogokkan dengan pembentangan slaid ala Microsoft Power Point yang bertanyakan bermacam soalan selama lebih dua minit!

Maaf Dr. Rozmey, kaedah untuk menjual ubat kurus tidak sama dengan cara bercerita di layar perak.

'Zaman kegelapan' Amy ditonjolkan berselang-seli dengan adegan persiapan mengkebumikan mayatnya.

Tidak dinafikan sinematografi untuk babak-babak di kampung dihasilkan dengan dramatik dan teliti, tetapi sayangnya kosong tanpa isi.

Keindahan syot-syot itu tidak dibantu dengan dialog yang kuat. Kalau ada pun, bunyinya sangat klise dan pernah didengar dalam drama televisyen era 1980an.

Sebagai contoh, "Sabarlah, ini takdir Tuhan. Sebagai orang Islam, kita harus terima qada' dan qadar".

Filem 2 Alam membulatkan sesuatu perkara dengan dangkal dan terus menghukum. 'Dunia' kampung digambarkan seputih-putihnya menerusi watak Ustaz, graduan dari Mesir. Dunia kota ditunjukkan sehitam-hitamnya dan penuh noda menerusi watak Amy, lulusan universiti di London.

Saya tidak pasti mengapa pengarah sangat obses kepada lagu Salam Terakhir nyanyian Amy Search.

Kalau lagu tema sekalipun, perlukah ia dimainkan berkali-kali untuk babak imbas semula? Mereka mahu membuat filem atau video muzik?

Tidak salah kalau ingin menjadikan naskhah ini sebuah melodrama, tetapi janganlah malas. Syot yang sama diulang pakai sehingga penonton naik muak.

Bercakap mengenai video muzik, terdapat satu adegan yang membuatkan saya keliru, sama ada mahu ketawa atau menggeleng-gelengkan kepala.

Ketika itu Amy dan kekasihnya, Juan baru berpisah. Kedua-duanya berjalan mengikut alunan irama perlahan sebelum bertembung, kemudian masuk ke dalam kolam renang dan menyelam. Apakah maksud dan kepentingan adegan ini?

Persembahan lakonan sangat menjengkelkan, tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan pun jika skripnya sama taraf.

Sebagai contoh, "Aku betul-betul tak sangka kita dapat rogol penyanyi popular!" dan "Memang you takkan jumpa lelaki yang handsome macam I dalam dunia".

Sebagai bintang utama, Suhailah Salam lebih banyak menangis daripada bercakap. Dia juga asyik berpesta dan berpeleseran; tidak kiralah di dalam tab mandi, kereta atau di atas katil.

Mana adegan yang membuktikan dia seorang penyanyi popular? Mana adegan yang menunjukkan dia dulunya seorang lelaki?

Mengapa konflik jiwa Amy/Adam tidak diselam?

Mengapa Amy mengamuk dan mahu bunuh diri bila akhbar mendedahkan dia tukar jantina, walhal apa yang terpampang di muka depan ialah "engakuan Amy: Saya seorang lelaki"?

Jika 2 Alam sekadar mahu memberitahu betapa seksanya jenazah orang berdosa sewaktu dikebumikan, lebih bagus penonton membaca majalah Mastika saja.

Penceritaan filem ini melemaskan, bercitarasa buruk dan dakwahnya tidak kesampaian.

Ada baiknya saya berhenti di sini. Saya tidak mahu disalahkan nanti jika ulasan ini boleh membantutkan impian Dr. Rozmey mencatat jumlah kutipan yang luar biasa.

sumber:utusan


No comments:

Post a Comment